Tuesday, April 29, 2008

Mus'ab bin Umair : Pemuda Dakwah

Mus'ab bin Umair : Pemuda Dakwah
Musab bin Umair adalah sahabat Rasulullah yang sangat terkenal dan menjadi teladan kepada umat Islam sepanjang zaman. Sebelum memeluk Islam lagi Musab terkenal sebagai orang yang berperawakan lemah lembut, suka berpakaian kemas, mahal dan indah. Malah dia selalu berlawan dengan kawan-kawannya untuk berpakaian sedemikian. Keadaan dirinya yang mewah dan rupanya yang kacak menyebabkan Musab menjadi kegilaan gadis di Makkah. Mereka sentiasa berangan-angan untuk menjadi isterinya.
Musab sebenarnya adalah anak yang paling disayangi ibunya berbanding adik beradiknya yang lain. Apa sahaja permintaannya tidak pernah ditolak. Oleh itu tidaklah menghairankan apabila ibunya begitu marah selepas mendapat tahu Musab telah menganut Islam.
Ibu dan ayahnya telah mengurung dan menyeksa Musab selama beberapa hari dengan harapan dia akan meninggalkan Islam. Bagaimanapun tindakan itu tidak sedikit pun melemahkan keyakinannya. Pujukan dan ancaman ibunya tidak berkesan. Mereka sudah habis ikhtiar lalu membebaskannya buat sementara.
Tindakan ibunya tidak sedikit pun menimbulkan rasa takut pada Musab, sebaliknya dia tidak jemu-jemu memujuk ibunya memeluk Islam kerana kasih pada ibunya. Musab membuat pelbagai ikhtiar tetapi semua tindakannya hanya menambahkan lagi kemarahan dan kebencian ibunya.
Pada suatu hari Musab melihat ibunya dalam keadaan pucat lesi. Dia pun bertanyakan sebabnya. Kata ibunya, dia telah berniat di hadapan berhala bahawa dia tidak akan makan dan minum sehingga Musab meninggalkan Islamnya.
Cuba bayangkan bagaimana jika anda berada di tempat Musab ketika itu, berhadapan dengan ibu yang hanya hampir tinggal nyawa ikan? Apakah jawapan anda? Tergamakkah anda membiarkannya terlantar begitu? Atau apakah ada jawapan lain yang lebih menggembirakan? Dengarlah jawapan Musab kepada ibunya: Andaikata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu demi satu, nescaya saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali.
Apa lagi lemahlah siibu mendengar jawapan sianak. Dengan jawapan tersebut juga, Musab dihalau daripada rumah ibunya. Tinggallah Musab bersama-sama Rasulullah dan sahabat-sahabat yang sangat daif ketika itu.
Untuk meneruskan kehidupannya, Musab berusaha sendiri bekerja mencari nafkah dengan menjual kayu api. Apabila sampai berita ini kepada ibunya, dia merasa amat marah dan malu kerana kebangsawanannya telah dicemari oleh sikap Musab. Adik-beradik Musab juga sering menemui dan memujuknya supaya kembali menyembah berhala. Tetapi Musab tetap mempertahankan keimanannya.
Sewaktu ancaman dan seksaan kaum Quraisy ke atas kaum Muslim menjadi-jadi, Rasulullah telah mengarahkan supaya sebahagian sahabat berhijrah ke Habysah. Musab turut bersama-sama rombongan tersebut. Sekembalinya dari Habsyah, keadaan beliau semakin berubah. Kurus kering dan berpakaian compang-camping. Keadaan itu menimbulkan rasa sedih di dalam hati Rasulullah. Kata-kata Rasulullah mengenai Musab sering disebut-sebut oleh sahabat:
Segala puji bagi bagi Allah yang telah menukar dunia dengan penduduknya. Sesungguhnya dahulu saya melihat Musab seorang pemuda yang hidup mewah di tengah-tengah ayah bondanya yang kaya raya. Kemudian dia meninggalkan itu semua kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.
Apabila ibu Musab mendapat tahu mengenai kepulangannya, dia memujuk anaknya supaya kembali kepada berhala. Dia mengutuskan adik Musab yang bernama al-Rum untuk memujuknya. Namun Musab tetap dengan pendiriannya. Bagaimanapun tanpa pengetahuan ibunya, al-Rum juga sudah memeluk Islam tetapi dia merahsiakannya. Sewaktu berlaku peperangan Uhud, Musab ditugaskan memegang panji-panji Islam. Peringkat kedua peperangan telah menyebabkan kekalahan di pihak tentera Muslimin. Tetapi Musab tetap tidak berganjak dari tempatnya dan menyeru: Muhammad adalah Rasul, dan sebelumnya telah banyak diutuskan rasul.
Ketika itu, seorang tentera berkuda Quraisy, Ibn Qamiah menyerbu ke arah Musab dan melibas tangan kanannya yang memegang panji-panji Islam. Musab menyambut panji-panji itu dan memegang dengan tangan kirinya sambil mengulang-ulang laungan tadi. Laungan itu menyebabkan Ibn Qamiah bertambah marah dan menetak tangan kirinya pula. Musab terus menyambut dan memeluk panji-panji itu dengan kedua-dua lengannya yang kudung. Akhirnya Ibn Qamiah menikamnya dengan tombak. Maka gugurlah Musab sebagai syuhada' Uhud.
Abu al-Rum, Amir ibn Rabiah dan Suwaibit ibn Sad telah berusaha mendapatkan panji-panji tersebut daripada jatuh ke bumi. Abu Rum telah berjaya merebutnya dan menyaksikan sendiri syahidnya Musab. Abu Rum tidak dapat lagi menahan kesedihan melihat kesyahidan abangnya. Tangisannya memenuhi sekitar bukit Uhud. Ketika hendak dikafankan, tidak ada kain yang mencukupi untuk menutup mayat Musab. Keadaan itu menyebabkan Rasulullah tidak dapat menahan kesedihan hingga bercucuran air matanya. Keadaannya digambarkan dengan kata-kata yang sangat masyhur: Apabila ditarik ke atas, bahagian kakinya terbuka. Apabila ditarik ke bawah, kepalanya terbuka. Akhirnya, kain itu digunakan untuk menutup bahagian kepalanya dan kakinya ditutup dengan daun-daun kayu.
Demikian kisah kekuatan peribadi seorang hamba Allah dalam mempertahankan kebenaran dan kesucian Islam. Beliau jugalah merupakan pemuda dakwah yang pertama mengetuk setiap pintu rumah di Madinah sebelum berlakunya hijrah. Kisahnya mempamerkan usaha dan pengorbanannya yang tinggi untuk menegakkan kebenaran. Semua itu adalah hasil proses tarbiyah yang dilaksanakan oleh Rasulullah.
Musab telah menjadi saksi kepada kita akan ketegasan mempertahankan aqidah yang tidak berbelah bagi terhadap Islam sekalipun teruji antara kasih sayang kepada ibunya dengan keimanan. Musab lebih mengutamakan kehidupan Islam yang serba sederhana dan kekurangan berbanding darjat dan kehidupan yang mewah. Dia telah menghabiskan umurnya untuk Islam, meninggalkan kehebatan dunia, berhijrah zahir dan batin untuk mengambil kehebatan ukhrawi yang sejati sebagai bekalan kehidupan dalam perjuangan yang tidak pernah padam.

Friday, April 25, 2008

SIFAT-SIFAT KEIMANAN YANG PERLU DIJAGA DI DALAM DIRI SETIAP PIMPINAN

SIFAT-SIFAT KEIMANAN YANG PERLU DIJAGA DI DALAM DIRI SETIAP PIMPINAN

Dalam merentasi perjuangan Islam, pimpinan alumni telah mengakui diri kita adalah pendakwah perlu meneliti diri ini dari masa ke semasa agar kita dapat melihat di manakah kita dalam menghayati dan mentaati nilai ajaran Islam yang menjadi intisari dakwahnya kepada masyarakat. Kita juga harus meneliti di mana kedudukan diri kita dalam persoalan iltizam dan 'commimen't terhadap Islam supaya kita tidak tergolong di kalangan orang-orang yang dinyatakan oleh Allah – Subhanahu Wata'ala dalam firmanNya:

أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنْسَوْنَ أَنْفُسَكُمْ وَأَنْتُمْ تَتْلُونَ الْكِتَابَ أَفَلاَ تَعْقِلُونَ (٤٤:٢)

Terjemahannya: Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal? (al-Baqarah,2:44).

Maka diingatkan agar amal dan usaha kita tidak menjadi sia-sia dan kita tergolong dalam golongan orang-orang yang disifat oleh Allah dalam surah al-Kahfi,18 ayat 104:

الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا (١٠٤:١٨)

Terjemahannya: (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan.

Orang-orang yang benar-benar rugi menurut neraca Islam di hari Akhirat ialah orang-orang yang rugi dan tidak berjaya menyelamatkan dirinya dari seksaan sekalipun kita dapat merangkul dunia seluruhnya melalui kehebatan kerjaya yang kita sandang atau sebagainya. Sebaliknya orang-orang yang benar beruntung mengikut neraca Islam di Akhirat ialah orang-orang yang dapat menyelamatkan dirinya dari seksaan neraka sungguhpun kita kerugian dunia seluruhnya. Orang beriman bijak menilai kehidupan dunia. Menurut Hadith Nabi:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الدُّنْيَا سِجْنُ الْمُؤْمِنِ وَجَنَّةُ الْكَافِرِ (رواه مسلم)

Terjemahannya: Dari Abu Hurairah – radiyalLahu ‘anh dia berkata: RasululLah - sallalLahu ‘alayhi wa sallam – bersabda: "Dunia itu adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir." (Riwayat Muslim)

Orang-orang yang benar-benar beramal menurut neraca Islam ialah orang-orang yang berbuat baik terhadap diri sendiri dan membebaskannya dari api neraka. Firman Allah – Tabaraka wa Ta’ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلاَئِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لاَّ يَعْصُونَ اللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ (٦:٦٦)

Terjemahannya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (at-Tahrim,66:6)

Malah, bukankah kita pernah mendengar Firman Allah - – Tabaraka wa Ta’ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لاَ تَفْعَلُونَ ﴿٢﴾ كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لاَ تَفْعَلُونَ ﴿٣﴾ ٣-٢:٦١

Terjemahannya: Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. (as-Saff,61:2-3)

Dan tidak gentarkah pada Hadith RasuluLlah SaLlaLlahu 'alaihi Wasallam yang amat menggerunkan ini:

عَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ قَالَ:
يُؤْتَى بِالرَّجُلِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُلْقَى فِي النَّارِ فَتَنْدَلِقُ أَقْتَابُ بَطْنِهِ، فَيَدُورُ بِهَا كَمَا يَدُورُ الْحِمَارُ بِالرَّحَى فَيَجْتَمِعُ إِلَيْهِ أَهْلُ النَّارِ فَيَقُولُونَ: : يَا فُلاَنُ، مَا لَكَ أَلَمْ تَكُنْ تَأْمُرُ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَى عَنْ الْمُنْكَر؟ِ فَيَقُولُ: بَلَى، قَدْ كُنْتُ آمُرُ بِالْمَعْرُوفِ وَلاَ آتِيهِ وَأَنْهَى عَنْ الْمُنْكَرِ وَآتِيهِ (صحيح مسلم)

Terjemahannya: Dari Usamah Bin Zaid - radiyalLahu ‘anh dia berkata: RasuluLlah SaLlaLlahu 'alaihi Wasallam bersabda: "Ada seorang lelaki pada hari kiamat kelak ia digiring ke neraka lalu dicampakkan ke dalamnya. Isi perutnya terburai keluar dan ia berpusing-pusing melengkarinya sebagaimana berpusingnya keldai mengelilingi kincir air, berkumpullah penghuni-penghuni neraka melihat lelaki tersebut lalu mereka bertanya: - "Wahai si pulan tidakkah engkau dahulunya menyuruh orang melakukan yang ma'aruf dan melarang yang mungkar?" Lelaki itu berkata, "Ya! Memang benar, aku dahulunya menyuruh orang lakukan yang ma'aruf tetapi aku sendiri tidak melaksanakannya. Aku melarang kemungkaran, sedangkan ku lakukannya." (Sahih Muslim)

Sesungguhnya taraf iltizam (commitment) dan penghayatan para pimpinan merangkap da'i terhadap Islam mestilah jauh mengatasi tahap penghayatan dan iltizam ahli biasa dan masyarakat umum yang menjadi golongan sasaran dakwah (mad'u). Sekiranya iltizam para pimpinan selaku da'i sama sahaja dengan orang lain maka kita tidak mempunyai apa-apa kelebihan dari orang kebanyakkan. Dengan itu kita seolah-olah menanggung dosa kepura-puraan.

Kita semua harus menyedari bahawa tanpa kita sedari, kita telah melakukan bai'ah dengan Allah – Tabaraka Wa Ta'ala - dalam firmanNya:

إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُم الْجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالإِْنْجِيلِ وَالْقُرْآَنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُمْ بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (١١١:٩)

Terjemahannya: Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. (at-Taubah,9:111)

Sesungguhnya kesetiaan para pimpinan merangkap da'i terhadap bai'ah ini bergantung kepada sejauh mana kefahaman kita terhadap al-Quran itu sendiri dan iltizam kita dengan sifat-sifat keimanan yang menyusul selepas ayat ini iaitu ayat seterusnya, at-taubah,9:112:

التَّائِبُونَ الْعَابِدُونَ الْحَامِدُونَ السَّائِحُونَ الرَّاكِعُونَ السَّاجِدُونََ ﭐلأمِرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّاهُونَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَالْحَافِظُونَ لِحُدُودِ ﭐللَّهِ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ (١١۲:٩)

Terjemahannya: (Mereka itu ialah): Orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian). (at-Taubah,9:112)

Apakah kita tidak teruja atau terdorong untuk mentaddabur dan mengetahui pula dengan sifat-sifat keimanan seperti at-ta'ibun, al-'abidun, al-Hamidun, al-sa'ihun, al-Raki'un dan al-Sajidun, al-Amiru bil Ma'aruf wa Nahuna anil-Munkar?.

Diubahsuai dari: Fathi Yakan (2000). Bahtera Penyelamat dalam kehidupan Pendakwah. Dewan Pustaka Fajar.ms144-147.

FAKTA PENTING DAN MENARIK SEPANJANG 56 TAHUN PAS (SIRI 1)

FAKTA PENTING DAN MENARIK SEPANJANG 56 TAHUN PAS (SIRI 2)

1. Tahukah kita bahawa Prof Dr. Burhanuddin Al Helmy menyertai PAS pada Disember 1956 setelah dilamar oleh kepimpinan PAS ketika itu untuk dilantik sebagai YDP Agung bagi menggantikan Dr Abbas Alias. Beliau hanya sempat menjadi ahli PAS selama beberapa hari sahaja. Antara yang bertanggungjawab membawa Dr Burhanuddin ke dalam PAS iaitu Hj Hassan Adli, Ketua Pemuda pada ketika itu walaupun mendapat tentangan daripada beberapa orang pimpinan seperti Ustaz Abdullah Othman (Setiausaha Agung ketika itu) dan Ustaz Ahmad Azam Hanafiah. Manakala orang yang diamanahkan untuk melamar Dr Burhanuddin ialah Ustaz Baharuddin Latif (abang Hj Subki Latif) dan Ustaz Abdul Wahab Noor.


2. Dewan Muslimat PAS hanya ditubuhkan selepas kira kira 6 tahun penubuhan PAS iaitu pada 13 Disember 1957 di Batu 20 Bagan Datok, Perak yang bertujuan untuk menyatukan seluruh kaum muslimat di negara ini. Ketua Muslimat yang pertama ialah Ustazah Zubaidah Ali (isteri kepada Ustaz Ahmad Azam, bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu dan ADUN PAS Terengganu 1959-1964). Beliau dan suaminya sekarang tinggal di Teluk Gadong, Kelang.


3. PAS pernah memiliki seorang pimpinan yang berbangsa Cina. Pimpinan yang dimaksudkan ialah Hj Mansor Hassan Kwantung atau lebih dikenali sebagai Hj Mansor J.P. Beliau telah dilantik menjadi TYDP Agung PAS pada Januari 1953.


4. Pada 3 Julai 1967, suatu peristiwa yang memeranjatkan negara apabila Ketua Pemuda PAS ketika itu yang juga seorang Ahli Parlimen, YB Abdul Samad Ghaul Ahmad Mianji telah dibunuh dengan menggunakan sebilah kapak ketika beliau berjalan menuju ke keretanya setelah memberi ceramah di Bangunan Zulkifli, Kota Bahru. Pembunuhnya sehingga kini tidak dapat dikesan.


5. Berikut adalah senarai pimpinan PAS yang pernah dilantik sebagai Menteri Besar samada di Kelantan ataupun Terengganu. MB PAS Kelantan iaitu Dato Ishak Lofti Omar, Dato Asri Hj Muda, Dato Hj Muhammad Nasir dan Tn Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat. Manakala bagi MB PAS Terengganu ialah Mohd Daud Abdul Samad dan Tn Guru Dato Hj Abdul Hadi Awang. Diantara kesemuanya Dato Nik Abdul Aziz adalah MB yang paling lama berkuasa iaitu telah melebihi 17 tahun dan Mohd Daud adalah yang paling singkat iaitu hanya 2 tahun sahaja.


6. Putera Sultan yang pernah menjadi Pesuruhjaya PAS ialah Tengku Abdul Hamid ibni Sultan Abdullah. Beliau telah menjadi Pesuruhjaya PAS Pahang selama 2 tahun yang berakhir pada tahun 1965. Beliau terpaksa meletakkan jawatan atas nasihat kekandanya Sultan Abu Bakar bagi menjaga nama baik istana kerana penyertaannya ke dalam PAS tidak disenangi oleh parti pemerintah, Umno.


7. Johor adalah negeri terakhir di Semenanjung Malaysia untuk PAS memenangi kerusi iaitu pada Pilihanraya Umum 2004 di DUN Senggerang melalui Dr Ramli Kari. Bagi Melaka dan Negeri Sembilan, PAS pernah mempunyai wakil pada Pilihanraya Umum 1974 melalui Dr Muhammad Nor Nordin (DUN Tanjung Minyak) bagi Melaka dan Hj Azahari Hamzah (DUN Pasir Panjang) bagi Negeri Sembilan.


8. Pada 1 Januari 1973, YDP PAS ketika itu Dato Asri Hj Muda telah membawa PAS untuk menyertai kerajaan campuran PAS-Perikatan. Hasil daripada pembentukan kerajaan campuran ini, beberapa wakil PAS telah dilantik menjadi Exco di beberapa buah negeri. Mereka adalah Dato Abu Bakar Umar dan Ahmad Shukri di Kedah manakala Ustaz Omar Shukri dan Ustaz Kassim Ahmad bagi Terengganu. PAS pula melantik 2 orang wakil Umno sebagai Exco di Kelantan iaitu Dato Husein Ahmad dan Muhammad Idris.


9. Pada 1968, seramai 5 orang ADUN PAS Kelantan yang terdiri daripada seorang Speaker DUN, 2 orang Exco dan 2 ADUN telah tahan di Kuala Lumpur dan cuba disogok dan diugut oleh Umno untuk menyertai Umno dan seterusnya mengundi usul tidak percaya untuk menumbangkan Kerajaan PAS Kelantan. Pada awalnya kesemuanya bersetuju akan tetapi pada hari pengundian usul tersebut, 3 daripadanya menyertai PAS semula. Maka akhirnya Kerajaan PAS Kelantan selamat dari menghadapi usul undi tidak percaya tajaan Umno.


10. Pencapaian terburuk PAS Kelantan adalah ketika Pilihanraya Negeri 1978 (diadakan selepas darurat) apabila PAS hanya memperolehi 2 kerusi DUN iaitu Sering melalui Hj Nik Abdullah Arshad dan Manik Urai melalui Wan Abdullah Wan Su. Pada ketika ini, Umno sering menyindir PAS dengan menyebut PAS hanya tinggal ‘ batu nesan’ di Kelantan. Inilah kali pertama Umno menguasai Kelantan setelah mengadakan pakatan dengan BERJASA pimpinan Dato Muhammad Nasir (bekas MB PAS Kelantan yang keluar PAS dan menubuhkan parti baru)

Disediakan Oleh Mahmud Abu Hanifa

Thursday, April 24, 2008

TARBIYYAH DISEBALIK BERITA GEMBIRA

بسم الله الرحمن الرحيم
إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ (1) وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا (2) فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا (3)


TARBIYYAH DISEBALIK BERITA GEMBIRA

Pertama sekali marilah kita menyebut kalimah tahmid dengan lafaz الحمدلله .. segala puji dan puja kepada Allah yang Mentadbir Sekelian Alam, yang memiliki kerajaan yang kekal, yang menjadikan tujuh petala langit dan tujuh petala bumi, yang menjadikan siang dan malam, yang mengatur perjalanan bulan dan matahari, yang telah membolakbalikan hati manusia khususnya pengundi-pengundi di tanah air kita Malaysia kepada memilih pakatan Barisan Alternatif, khususnya PAS. Yang kepada-Nya lah tempat kembali segala kesyukuran!

Sesungguhnya Allah itu jualah yang telah mendatangkan dan mengurniakan kemenangan. Daripada-Nya datang kemenangan dan kepada-Nya kembali kemenangan. Sesungguhnya Allah Taala tidak sekali-kali memungkiri janjinya. Firman Allah swt :

وَأُخْرَى لَمْ تَقْدِرُوا عَلَيْهَا قَدْ أَحَاطَ اللَّهُ بِهَا وَكَانَ اللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرًا
“Dan (telah menjanjikan pula kemenangan-kemenangan) yang lain (atas negeri-negeri) yang kamu belum dapat menguasainya yang sungguh Allah telah menentukan-Nya. Dan adalah Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” [surah al-fath : 21]

Maka jangan kita lalai dari terus memuji dan bertasbih di atas anugerah ini. Firman Allah swt :

فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا
“ maka bertasbihlah dengan memuji tuhan kamu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Allah itu penerima taubat” [ surah an-nashr : 3 ]

Pelbagai analisis dilakukan oleh penganalisa politik baik yang berautoriti mahupun penganalisa politik “kedai kopi”. Daripada isu kebobrokan BN, kezaliman rejim Pak Lah, kenaikan harga minyak yang membebankan, harga barang melambong, rasuah, salahguna kuasa, Imam Hadhari di balik tabir yang suka meraba dan memeluk perempuan, SPR (Suruhanjaya Penipu Rakyat) yang tampak jelas membantu BN, pengundi hantu yang berjaya dihalang, ucapan Tun Dr M yang dieksploitasi oleh pembangkang, kebangkitan rakyat yang nyata melibatkan kaum melayu, cina dan India, kemuakan rakyat terhadap pepimpin berjiwa kroni sehinggalah kepada isu-isu tempatan.

Namun tak ramai yang melihat ini sebagai anugerah Allah yang Maha Kuasa ke atas DOA dari hamba-hamba-Nya yang dizalimi, yang dianiaya, yang dirobohkan rumahnya, yang dihancurkan masjidnya, yang dipisahkan suami mereka dalam penjara ISA, yang dipukul diterajang kerana menuntut keadilan dan yang didoakan oleh wali-wali Allah serta makhluk-makhluk Allah terdiri daripada malaikat dan jin. Pendek kata doa dari rintihan dan munajat hamba-hamba Allah swt.

Saya (hamba yang lemah, faqir dan hina, yang mengharap hanya redha Ilahi) mengajak sahabat-sahabat dalam ruangan tarbiyyah ini supaya menjadi hamba Allah yang sering mengembalikan setiap urusan kepada keAgongan dan keKuasaan Allah SWT. Firman Allah swt :

وَمَا النَّصْرُ إِلَّا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَكِيمِ
“..Dan tidak ada pertolongan itu kecuali dari sisi Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Ali Imran : 126)

Dan firman-Nya lagi;

فَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لَكُنْتُمْ مِنَ الْخَاسِرِينَ
“… Maka kalau bukan kerana kurnia Allah dan rahmatNya atasmu, nescaya kamu termasuk dalam golongan orang yang rugi.” (Surah al-Baqarah : 64)

Kita ini sifatnya lemah, bertambah pula di bawah kuasa regim BN yang angkuh, zalim dan menindas! Kita ditindas setiap hari, kita dizalimi setiap hari, kita golongan yang lemah, kita golongan yang ditindas dan dizalimi, kita lemah, kita tidak punya PDRM (Polis Raja Di Malaysia), kita tidak punya SPR (Suruhanjaya Penipu Rakyat), kita tidak punya media elektronik seperti TV3suku dan RTM (Rancangan Tipu Menipu), kita tidak punya media cetak seperti BH (Berita Hairan) dan UM (Utusan Menipu).. kita golongan mustad’afin.. kita lemah dan dipandang lemah oleh musuh durjana.

Namun, mereka lupa, mereka juga manusia yang lemah! Yang fitrahnya bersifat lemah! Manusia itu memang bersifat lemah! Hanya saja mereka merampas kekuasaan, kesombongan, dan kehebatan yang hanya layak dimiliki oleh Allah swt. Firman Allah swt :

وَخُلِقَ الْإِنْسَانُ ضَعِيفًا
“..Dan dijadikan manusia itu bersifat lemah.” (Surah An-Nisa’ : 28)

Namun, orang-orang yang beriman itu tidak lupa, kita ada Allah Yang Maha Kuat, Yang Maha Kuasa, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Gagah, Yang Maha Agong, Yang Maha Bijaksana, Yang Maha Merancang, Yang Maha Menggagalkan Tipudaya, Yang Maha Membolakbalikan Hati Manusia, Yang Maha Mendengar rintihan hamba-hambaNya dan Yang Maha Melihat akan kezaliman hamba-hambaNya!

Kepada Allah Yang Maha Segala Maha inilah kita berdoa, yang dizalimi berdoa, yang ditindas berdoa, wali-wali Nya berdoa, seluruh makhluknya berdoa, bermunajat, bermohon.. berdoa, berdoa, dan terus berdoa serta bermunajat agar diberikan istiqamah dalam perjuangan, kekuatan, dan kemenangan!

Kita sangat yakin pada janji Allah swt :

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
“Dan Tuhanmu berfirman: “Mintalah kamu kepada Aku, nescaya Aku perkenankan permintaan kamu itu.” (Surah al-Mu’min : 60)

Kita juga sangat yakin dengan janji Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi r.a, bahawa telah bersabda Nabi saw :

إِنَّ رَبَّكُمْ تَبَارَكَ وَتَعَالَى حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي مِنْ عَبْدِهِ إِذَا رَفَعَ يَدَيْهِ إِلَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا
“Sesungguhnya Tuhanmu itu Hidup lagi Maha Mulia. Dia malu apabila seseorang hamba-Nya yang mengangkat dua tangannya (berdoa), bahawa menolak doa itu dalam keadaan kosong.” (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah, Ibnu Hibban mensohihkan hadis ini) [Sohih Ibnu Hibban, Imam al-Hafiz Muhammad bin Hibban, juz 4 hal 242 / Ihya’ Ulumuddin, Imam al-Ghazali, juz 1, hal. 404]

Dan daripada Abi Hurairah, bersabda Rasulullah SAW :

ثَلاَثَةٌ لاَ تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ. الصَّائِمُ حِيْنَ يُفْطِرُ, واْلإِمَامُ الْعَادِلُ, ودَعْوَةُ الْمَظْلُومِ
“Ada tiga doa yang pasti dikabulkan Allah, iaitu doa orang yang teraniaya, doa orang yang sedang merantau (musafir) dan orang tua pada anaknya.” (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmizi, Imam at-Tirmizi berkata hadis ini Hasan. Ibnu Hibban mensohihkannya) [al-Azkar, Imam Nawawi, hal. 189 ]

SENJATA YANG AMPUH

Kita tidak punya senjata water canon, kita tidak punya cotar dan belantan, kita tidak punya gari, kita tidak punya mahkamah. Kita tidak punya senjata canggih, senjata putarbelit, senjata hantu dan salahguna senjata seperti mereka.

Namun, kita punya senjata ampuh, senjata sulit, senjata rohani yang bisa menembusi jasmani. Kita tidak lupa pesanan Junjungan Besar kita Nabi Muhammad saw yang bersabda ;

الدعاء سلاح المؤمن ، وعماد الدين ، ونور السماوات والأرض
“Doa adalah senjata orang yang beriman, tiang agama dan cahaya langit dan bumi.” (Riwayat Abu Ya’la dan al-Hakim, al-Hakim mensohihkan hadis ini) [al-Mustadrak, Imam al-Hafizul kabir al-Hakim Abu Abdullah, juz. 4 hal. 359]

Senjata inilah yang kita guna, orang yang dizalimi guna, orang yang ditindas guna, wali-wali Allah guna, sehingga pemimpin BN terpinga-pinga mencari asbab kekalahan dan kejatuhan sekaligus kehinaan!

Inilah senjata yang pernah digunakan oleh Nabi Ibrahim a.s, inilah senjata yang pernah digunakan oleh Nabi Musa a.s, inilah senjata yang pernah digunakan oleh Penghulu kita Muhammad saw. Dengan senjata inilah kita berpesan-pesan sesama kita agar sentiasa berdoa, bermunajat dan berzikir terus, terus dan terus menerus. Dari dulu, kini dan selamanya..

Kita, orang yang dizalimi, orang yang ditindas, para ulamak, para aulia’ullah, orang tua, orang muda, kanak-kanak, lelaki, wanita, kaya, miskin, mewah, melarat, semuanya memohon kepada Tuhan Yang Esa, Yang Tunggal, Yang Menjadi Tempat Pergantungan semua makhluk.

Orang India berdoa dengan cara mereka, orang Cina berdoa dengan cara mereka. Walhasil mereka semua makhluk Allah! Mereka Hamba Allah yang meminta kepada Pencipta mereka. Mereka meminta suatu kemenangan di dunia. Ya! Kemenangan di dunia semata-mata. Berbeza kita yang memohon kemenangan di dunia dan di akhirat.

Sebahagian mereka menyatakan kepada saya, bahawa mereka berdoa terus kepada “Tuhan Alla”, tidak lagi kepada patung-patung berhala mereka. Subhanallah! Benar firman Mu! ;

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالأرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ
“Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Tentu mereka akan menjawab: "Allah". [ surah Luqman : 25]

Orang bukan Islam mengetahui saat kemuncak mereka ditindas, lalu mereka memohon kepada Tuhan Yang Sebenar! Doa mereka juga tidak terlepas daripada perhatian Allah swt yang Maha Mengetahui. Sabda Nabi Saw :

اتَّقُوا دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ وَإِنْ كَانَ كَافِرًا فَإِنَّهُ لَيْسَ دُونَهَا حِجَابٌ
“Takutlah olehmu akan doa orang yang kena zalim, sekalipun ia seorang yang kafir. Kerana sesungguhnya tidak ada hijab (penghalang) bagi doanya itu” (Riwayat Ahmad dari Anas bin Malik) [al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatil Qulub, al-‘Allamah asy-Syeikh Ali bin Abdur Rahman al-Kalantani, hal. 105]

Dan kita, terus memohon dengan cara kita, cara yang diajar oleh Allah swt, cara yang diajar oleh Rasulullah saw. Firman Allah swt :

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ
“Dan mintalah kamu akan pertolongan dengan sabar dan solat” [surah al-Baqarah : 45]

Setelah lama kita dizalimi, sejak BN memerintah bumi Malaya dengan lambang Kapal Layar. Kita tetap bersabar, kita bersabar, bersabar dan masih bersabar. Bukan kerana arahan pimpinan, tetapi arahan tuhan bagi memenuhi prasyarat pertolongan dan kemenangan.

Setiap kali kita dizalimi, kita meminta dan dipinta mengadakan solat hajat dan berdoa kepada Rabbul Jalil. Tidak ada tempat lain untuk kita mengadu dan memohon, melainkan hanya kepada al-Hayyul Qayyum. Walaupun kita pernah disindir dan dilekeh, oleh orang yang buta mata hatinya, pekak batin telinganya!

Mereka yang pernah memperlekeh itu sebenarnya orang yang sombong! Sehingga mereka berasa tidak perlu lagi berdoa! Mereka berlagak dengan jentera dan kuasa sementara yang mereka ada. Mereka ini nantinya akan dihumban ke neraka jahanam dalam keadaan yang hina!

Firman Allah swt :

إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
“Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri mereka itu dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina". [surah al-Mu’min : 60]

Dalam tafsir al-Baidhawi, ketika menafsirkan ayat ini, Imam Nasiruddin al-Baidhawi ada menukilkan seperti berikut ;
المراد بالعبادة الدعاء
“yang dikehendaki dengan ibadat pada ayat ini adalah doa..” [ Tafsir Anwarut Tanzil wa Asrarut Ta’wil, Imam Nasiruddin al-Baidhawi, juz 4, hal. 41]

Imam asy-Syaukani dalam Fathul Qadir menafsirkan ayat di atas seperti berikut :

أي : ذليلين صاغرين ، وهذا وعيد شديد لمن استكبر عن دعاء الله ،
“..Iaitulah orang-orang yang menghina dan orang-orang yang memperlecehkan. Dan ini merupakan janji yang keras kepada sesiapa yang sombong angkoh daripada berdoa (meminta) terhadap Allah..” [ Fathul Qadir, Imam asy-Syaukani, juz 6, hal 332]

Sekiranya mereka meneruskan gaya hidup angkuh dan sombong, maka nantikanlah janji Allah yang keras lagi dahsyat itu! Na’uzubillahi min zalik. Saya berlepas diri setelah memberi inzar..
Program Munajat Perdana Mempertahankan Kerajaan Islam PAS di Kelantan sebelum ini berjaya membuka mata golongan “tak ambik tahu hal politik”. Mereka terharu menyaksikan lautan manusia berhimpun di padang bola, di saat manusia lain nyenyak diulit mimpi, di pagi buta sunyi sepi. Mereka menyaksikan himpunan rakyat jelata, para ulamak dan aulia’ullah menangis menitiskan air mata, bahkan ada yang berjujuran air mata, membasahi pipi, ada yang membasahi jubah, dan ada yang gugur membasahi bumi Allah.

Air mata ini menjadi saksi bahawa mereka berdoa, bermunajat dan merintih memohon bantuan Allah swt. Air mata ini menjadi bukti bahawa mereka mengaku sebagai hamba Allah yang lemah, yang tiada kekuatan, yang tidak memiliki kehebatan, yang faqir, yang hina, yang dhaif, yang kurang segala-galanya!.

Air mata ini mengalir sebagaimana pernah mengalirnya air mata Saiyidina Omar al-Khattab r.a apabila memohon bantuan dan pertolongan daripada Allah Yang Maha Berkuasa. Air mata ini menitis sebagaimana pernah menitisnya air mata Sultan Salahuddin al-Ayyubi apabila memohon bantuan dan pertolongan daripada Allah Yang Maha Perkasa.

Sungguh airmata ini menitis dengan keikhlasan hati yang bercita-cita mendaulatkan syari’at Allah di bumi Malaysia ini! Dan saya yakin, ramai lagi manusia dan hamba Allah yang berdoa dan bermunajat di tempat-tempat yang Allah sahaja Maha Mengetehuinya.

Inilah senjata ampuh kita, inilah faktor kemenangan kita, inilah perkara yang penganalisa politik terlepas pandang! Renungilah firman Allah swt :

وَاسْتَفْتَحُوا وَخَابَ كُلُّ جَبَّارٍ عَنِيدٍ
“Dan mereka memohon kemenangan (atas musuh-musuh mereka) dan binasalah semua orang yang berlaku sewenang-wenang lagi keras kepala,.” [surah Ibrahim : 15]

Firman-Nya lagi :
وَمَا النَّصْرُ إِلَّا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَكِيمِ
“..Dan tidak ada pertolongan itu kecuali dari sisi Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Ali Imran : 126)
Kita tidak bertawakkul begitu sahaja, tetapi tawakkul kita setelah kita beriman dengan Allah swt dengan iman yang sebenar, kita ruku’ dan patuh pada perintah Allah dan Rasul-Nya, kita mengabdikan urusan kehidupan dan kematian kita hanya kepada Allah Yang Maha Suci, kita sentiasa berlumba-lumba membuat kebajikan, samada kebajikan itu untuk diri kita, untuk keluarga kita, untuk masyarakat kita dan untuk tanah air kita.

Setelah itulah… setelah kita melakukan itu semua dengan penuh kesabaran disamping pelbagai mehnah dan ibtila’ (ujian) itulah kita bertawakkul kepada Allah Yang Maha Kaya, Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Firman Allah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا وَاعْبُدُوا رَبَّكُمْ وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“ Hai orang-orang yang beriman, rukuklah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan perbuatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan.” [surah al-Hajj : 77]


MEMAHAMI SENJATA DOA

Sahabat-sahabat sekelian, di sini suka saya nyatakan, bahawa kita mestilah sentiasa bersangka baik terhadap Allah swt. Lebih-lebih lagi jika doa dan munajat kita itu belum lagi dimakbulkan. Ramai yang mahukan kemenangan di kawasan masing-masing. Tetapi kemenangan dikurniakan di tempat yang lain.

Hal ini perlu ditegaskan kerana bimbang terjadinya kekecewaan lantas meninggalkan pergantungan terhadap Allah Yang Maha Berkuasa.

Perhatikankanlah kalam hikmah Syeikh Ibnu ‘Ato’illah al-Askandari berikut :

لاَ يَكُنْ تَأَخُّرُ أَمَدِ الْعَطَاءِ مَعَ الإِلْحَاحِ فِى الدُّعَاءِ مُوجِبًا لِيَأْسِكَ ، فَهُوَ ضَمِنَ لَكَ الإِجَابَةَ فِيمَا يَخْتَارُهُ لَكَ ، لاَ فِيمَا تَخْتَارُ لِنَفْسِكَ ، وَفِى الْوَقْتِ الَّذِى يُرِيدُ ، لاَ فِى الْوَقْتِ الَّذِى تُرِيدُ .
“Janganlah kerana kelambatan masa pemberian Tuhan kepadamu, padahal engkau bersungguh-sungguh dalam berdoa, menyebabkan engkau patah harapan kepada Allah, sebab Allah telah menjamin menerima semua doa dalam apa yang Dia kehendaki untukmu, bukan menurut kehendakmu, dan pada waktu yang Dia tentukan, bukan pada waktu yang engkau tentukan”. [Syarah al-Hikam Imam Ibnu Ato’illah al-Iskandar, Tok Pulau Manis, Tahqiq Haji Engku Ali bin Engku Endut, juz. 1, hal. 254]

As-Syeikh al-‘Arif billah Tok Pulau Manis pada mensyarahkan ibarat kalam hikmah tersebut, menjelaskan..

فِى الْوَقْتِ الَّذِى يُرِيدُ ، لاَ فِى الْوَقْتِ الَّذِى تُرِيدُ .
“{ pada waktu yang dikehendaki-Nya, tiada pada waktu yang engkau kehandaki }, kerana khiyar (pilihan) Allah bagi hambanya itu terlebih baik daripada khiyar (pilihan) hamba bagi dirinya”. [Syarah al-Hikam Imam Ibnu Ato’illah al-Iskandar, Tok Pulau Manis, Tahqiq Haji Engku Ali bin Engku Endut, juz. 1, hal. 261]

Maka jangan sesekali kita merasakan Allah swt tidak mendengar doa kita. Jangan kita menyangka Allah yang Maha Mendengar itu tidak memakbulkan doa kita! Allah Taala tidak begitu. Tidak sekali-kali tidak! Yakinlah dengan janji Allah swt melalui firman-Nya ;

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengqabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku..” [surah al-Baqarah : 186]
Firman-Nya lagi ;

ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
“Mintalah kamu kepada Aku, nescaya Aku perkenankan permintaan kamu itu.” (Surah Surah Al-Mu’min : 60)

Jangan kerana kita berdoa di sini, untuk kemenangan di sini, tiba-tiba di sana yang diberi kemenangan, lantas kita kecewa. Kita tidak boleh kecewa. Sesungguhnya Allah telah menerima doa kita. Pilihan Allah itu adalah yang terbaik. Kerana Allah itu Maha Mengetahui.

Firman Allah swt ;

وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ
وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” [surah al-Baqarah : 216]

Kita perlu memahami akan hikmahnya yang terkandung jutaan nikmat dan rahmat Allah swt. Para ulamak telah menerangkan bahawa adalah diperkenankan doa itu dengan salah satu daripada tiga cara, iaitu :

Pertama : terkadang diberi dengan ‘Ain (zat / barang nyata) yang dipinta. Kedua : terkadang diberi gantian yang terlebih baik daripada yang dipinta melalui penolakan bala’ dan pengurniaan nikmat yang besar. Ketiga : terkadang diakhirkan (ditangguhkan) dalam akhirat. [Syarah al-Hikam Imam Ibnu Ato’illah al-Askandari, Tok Pulau Manis, Tahqiq Haji Engku Ali bin Engku Endut, juz. 1, hal. 259]

Maka tiap-tiap ibadah itu harus dengan niat yang ikhlas dan menurut ilmu-ilmu syarak. Janganlah kita mengeluh. Kerana mengeluh itu menjadi penghalang makbulnya doa. Imam Nawawi meriwayatkan sebuah hadis daripada Abi Hurairah dari Nabi SAW, bersabda ia :

يُسْتَجَابُ لِأَحَدِكُمْ مَا لَمْ يَعْجَلْ فَيَقُولُ قَدْ دَعَوْتُ فَلَا أَوْ فَلَمْ يُسْتَجَبْ لِي
“Doa salah seorang daripada kamu akan diperkenankan selama ia tidak mengeluh meminta segera diperkenankan dengan mengucapkan : “sesungguhnya aku telah berdoa, tetapi sampai sekarang masih belum diperkenankan”” (Riwayat Bukhari dan Muslim) [al-Azkar, Imam Nawawi, hal. 401]

Sesungguhnya doa itu merupakan suatu ibadah. Oleh sebab ia ibadat, maka mestilah kita ikhlaskan diri kita, jangan kita mengeluh terhadap yang kita lakukan. Sabda nabi saw :

الدُّعَاءُ هُوَ العِبَادَةُ
“Doa itu adalah ibadat” (Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi dari an-Nu’man bin Basyir. At-Tirmizi berkata hadis ini hasan sohih) [Riyadus Solihin, Imam Nawawi, hal. 267]

Akhirnya, saya menasihatkan diri saya dan kepada sahabat-sahabat sekelian, apabila berdoa, mintalah dengan hati yang khusyuk, yang tawadhuk, yang tadarru’, yang mengakui kelemahan diri, yang menginsafi kefaqiran diri, sambil mengakui kebesaran Allahu swt, mengakui keEsaan Allah, meyakini pertolongan Allah swt. Titiskanlah air mata jika perlu. Titiskanlah kerana takutkan Allah, bukannya menitis kerana riya’.

Bukankah Ibnu Abbas r.a ada meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah saw bersabda ;

عَيْنَانِ لَا تَمَسُّهُمَا النَّارُ عَيْنٌ بَكَتْ مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ وَعَيْنٌ بَاتَتْ تَحْرُسُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
“Dua mata, yang tidak disentuh oleh api neraka, mata yang menangis kerana takutkan Allah, dan mata yang berjaga malam fi sabilillah” (Riwayat at-Tirmizi, kata Abu Isa, hadis ini hasan lagi gharib) [Bahrul Maazi, Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi, Bab مَا جَاءَ فِي فَضْلِ الْحَرَسِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ juz 11, hal. 219.]

Demikian beberapa ilmu yang perlu kita fahami terhadap kuasa DOA itu. Demikian faktor kemenangan kita. Demikian cara sepatutnya kita berfikir. Demikianlah kita harus mengembalikan semuanya kepada Allahu Rabbul Jalil. Demikianlah tarbiyyah disebalik berita gembira yang kita raikan, yang dapat saya sampaikan buat diri saya yang faqir, yang hina, yang lemah, yang sentiasa mengharapkan rahmat dan keampunan dari Allah yang Maha Kuasa. Juga buat sahabat-sahabat pejuang Islam sekelian.

Terima kasih kerana telah bertungkus lumus sebagai petugas Parti Islam dalam pilihanraya umum yang lalu. Segala pengorbanan wang ringgit, tenaga, idea dan doa kalian pasti dibalas oleh Tuhan yang Maha Pembalas. Jazakallahu kathiran. Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Wa lillahil hamd.

الفقير إلى الله الغني :
ابن مسران البنجري

2 ربيع الأول 1429هجرية

ibnumasran@yahoo.com

http://tarbiyyahibnumasran.blogspot.com